The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Sunday, January 17, 2010

Eksperimen Gila: Menjaja Buku di Jalanan

Ini kisah benar dari blog Tuan Irfan, editor Perolehan PTS Profesional:

"Tuan, pinjamkan saya lima saat?"

Kata-kata itu yang pertama kuucapkan pada seorang lelaki yang sedang menghirup kopi putihnya. Tanganku kemas menayangkan sesuatu. Di meja petak itu, tiga sahabatnya juga terpaku merenung apa yang sedang kugenggam keras. Seorang daripada mereka cuba menyentuhnya. Dengan lembut kutarik ke belakang, mengelak sedikit. Senjataku cuma satu, grafik pada kulit buku.

Ilmu Pengaruh: Bukan Jampi Tetapi Seni.

(ISBN: 978-967-5226-61-8)

Alaaa.. berilah saya sentuh.

Fuh, tajuk dia… Ceritalah sedikit.

Harga? Harga?

Itulah soalan-soalan yang terpancur dari mulut mereka. Sedangkan, waktu itu di dalam hatiku sudah terbahak-bahak ketawa. Memang seperti yang dijangka. Lima saat mereka yang kupinjam itu berjaya kukuasai sepenuhnya. Aku dengan berwajah penuh yakin mengatakan,

Sebenarnya kalian sudah dipengaruh. Lihat halaman 139.

Lalu, kuselakkan halaman 139 dan memberikannya pada seorang lelaki yang bertentang denganku. Beliau membacakan dengan kuat tanpa segan silu untuk diperdengarkan kepada teman-temannya yang lain.

Selang beberapa ketika, semuanya ternganga.

Sebenarnya, ilmu yang sedang kupraktikkan itu memang diceduk dari halaman yang sama juga (m/s 139) yang berbunyi;

Teori The Curve of Forgetting menyatakan, 80 peratus daripada apa-apa yang kita pelajari dan fahami diproses secara visual. Penulis cadangkan agar air liur tidak dibazirkan dengan bercakap semata-mata…

…Saluran secara visual ini juga memberikan 25 kali ganda lebih pantas kesannya pada otak mereka yang perlu dipengaruhi berbanding saluran pendengaran sahaja.

Lantas, berlegar-legarlah buku ini mengelilingi meja. Seorang demi seorang membeleknya dari kulit ke kulit, hingga ada juga yang menghidunya. Lucu!

Sepanjang buku itu bergerak dari tangan ke tangan, maka bermulalah satu proses yang dinamakan, ‘mencucuk jarum.’ Aku menceritakan kekuatan buku itu sebutir demi sebutir, tanpa gelojoh, berwajah yakin. Tidak kusangka, keempat-empat dari mereka berminat untuk membelinya.

Aku tersentak. Kenapa begitu mudah terjual?

Sayang sekali, aku cuma membawa lima buah buku sahaja untuk bereksperimentasi. Akhirnya, tinggal sebuah yang berada di genggamanku. Aku tetap di kedai kopitiam yang sama, mendekati sepasang suami isteri sedang berbincang di meja lain. Masih menggunakan strategi serupa, meminjamkan lima saat pertama.

“Tak boleh kurang?”

“Harganya RM21.90 ini tercetak di atas kulit dengan tujuan saya tak boleh menipu Tuan,”

“Mesti banyak komisen awak.”

“Ini kad saya. Saya sendiri editor kepada buku ini dan sudahpun dibayar gaji mahal.

Buntang mata mereka. Sang isteri melontarkan soalan,

“Wah, dibayar gaji mahal masih berjualan begini?”

Aku masih tersenyum melihatkan telatah mereka. Soalan itu juga sudah kuduga dan kusiapkan jawapannya awal-awal lagi,

Tujuan saya cuma satu; melihat reaksi pembaca. Bukan untung yang saya cari, Puan.”

Bayangkan, lima buah buku terjual dalam masa lima belas minit. Syukur. Pastinya bukanlah keuntungan yang besar andai dibandingkan dengan Tim Sales yang membawa juta-juta. Namun, misi utama dalam eksperimen ini adalah semata-mata ingin merobohkan tembok malu diri.

Pelajaran: Tidak meluahkan hasrat sebelum bertindak.

Daripada sepuluh sahabat yang kuceritakan tentang niatku untuk menjual buku secara langsung, enam daripadanya melontarkan balasan negatif. Untung sedikit, letih, berat, dan bermacam-macam lagi palang-palang kesusahan yang disandarkan pada bahu. Akibatnya, 50% moral diriku menjunam. Akhirnya, terpaksa kutidurkan sahaja hasrat ini. Berminggu-minggu.

Hinggalah pada suatu hari, seorang sahabatku, Wahyudi (menarik namanya,bukan) menceritakan,

Kau tahu? Setelah semua menolak untuk membeli darimu, kau akan alami satu perasaan yang berbeza setelah satu produk itu terjual. Fuhh… Bahagia…

Tanpa dia sedar, keesokan malam itu juga aku keluar bertindak. Siapa sangka, kalau bukan dengan kata-kata beliau itu, angan-anganku pasti terkubur begitu sahaja.

2 comments:

  1. alhamdulillah...tahniah tuan
    nanti saya dapatkan di book store...x sabar2 nak baca buku tuan....

    ReplyDelete
  2. Silakan tuan Pokli... InsyaAllah ada masa kita jumpa di KL!

    ReplyDelete