Pemimpin berpengaruh bijak melihat keperluan pengikut. Apabila keperluan pengikut dapat dipenuhi, pemimpin berpengaruh menjadi lebih berpengaruh. Sebaliknya jika keperluan pengikut tidak dititik beratkan, besar kemungkinan pengikut hilang kepercayaan dengan pemimpin ini.
Penulis paling suka dengan salah satu dialog dalam filem Laskar Pelangi. Kata guru besar kepada anak murid dalam filem itu: "Hiduplah dengan memberi sebanyak-banyaknya, bukan dengan menerima sebanyak-banyaknya."
Dalam hal ini, pemimpin berpengaruh tidak semestinya memberikan elaun keraian yang diterimanya setiap bulan. Dia boleh memberi apa sahaja--tidak semestinya dalam bentuk material.
Dia boleh memberi nasihat, tunjuk ajar mahupun bimbingan. Malah mutiara kata-kata yang diberinya secara percuma boleh menjadi pemberian yang sangat berharga. Malah nilainya lebih tinggi daripada sejongkong emas.
Sebaris kata-kata nasihat bisa menjadi penyegar jiwa. Apabila jiwa pengikut disiram, dibaja dan disemai dengan sempurna, jati diri mereka akan tumbuh subur. Pemberian seperti ini bukan sekadar boleh mengubah mereka yang berada di sekelilingnya, malah boleh mengubah dunia.
John E. Haggai dalam bukunya The Influential Leader: 12 Steps to Igniting Visionary Decision Making mendefinisikan pemimpin berpengaruh sebagai: "... pemimpin yang menggunakan pengaruhnya bagi mentransformasi dunia di sekeliling mereka, dan meningggalkan kebaikan yang mendalam."
Kebaikan yang mendalam hanya tercipta apabila ada pihak yang memulakan kebaikan. Justeru jadilah pemimpin yang suka memberi. Berilah apa sahaja yang membawa kebaikan dan menggembirakan pengikut. Pengikut yang gembira dengan layanan pemimpin sudah tentu akan menghormati pemimpin itu. Sebagai tanda hormat, mereka akan menyanjungi kita. Sanjungan itu pula sangat bernilai bagi membina kredibiliti seorang pemimpin.
Pemimpin berpengaruh bukan sekadar mendapat keuntungan di dunia, tetapi juga pahala di akhirat. Semoga pengaruh yang dicipta menjadi asbab Allah SWT reda kepada kita.
No comments:
Post a Comment